Saturday, October 22, 2011

Salah Sangka

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…

Aku tersalah sangka! Silap! Namun alhamdulillah Allah sedarkan.. Moga menjadi pengajaran.

Pertama-tama kali aku dilantik menjadi ahli dalam badan yang bekerja untuk dakwah. Sejujurnya aku tidak faham apa erti dakwah sebenar. Tujuan pertama setuju agar menjadi orang yang lebih baik kerana bakal mendapat pengisian…. itu yang kufikir. Pasal KERJA dakwah,,,tiada.

Namun antara kata2 yang menjadi penarik adalah..

“Kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita”

Ya! Saya tidak mengatakan itu salah.. tapi salahnya terletak pada diri saya sendiri kerana salah tafsir. Tafsiran ‘direct’ bagi orang yang sebertih jagung yang baru mahu mula mengenal erti beragama.

Bunyi enak bagiku namun ada batil sebenarnya.

Apa maksud taqwa?

Taqwa adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT. Dan bila sudah kamu bertaqwa baru Allah akan membantu kamu.


“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Kepatuhan menyeluruh itu pula bagaimana?

Perbuatan kepada Tuhan

Perbuatan kepada sesama insan

Perbuatan kepada alam

Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian.

Bertaqwa itu kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah.

Ini kata kunci yang saya tidak sedar, yaitu bertaqwa yang bermaksud patuh yang menyeluruh pada peraturan Allah. Dan bukan mendambakan keajaiban atau ayat yang sebenar, angan-angan.. jika saya bekerja di jalan dakwah, Allah akan memberi segala bentuk kemudahan! Astaghfirullah.

Kita lihat lagi contoh yang benar2 buat saya terfikir.

Rasulullah saw tidak pernah mengambil jalan mudah dalam melakukan sesuatu perkara kerana statusnya sebagai Rasul. Walau memang benar Allah menjanjikan kemenangan, kekalahan kebatilan, Nabi tetap mewujudkan asbab yang optimum untuk berjaya dalam peperangan contohnya. Nabi tidak pernah pula mengatakan “ Jika Allah memperintahkan aku berjuang, pasti Allah akan beri kemenangan!” sesekali tidak!

Makanya segala perancangan sains ketenteraan, efisiensi tapuk pemerintahan, kehebatan pengurusan dan kesempuraan kehidupan seharian diikhtiar sebaik mungkin.

Tidak kerana " Allah bersama kita!’ semata-mata, membuat kita ikhtiar acuh tak acuh dan ala kadar, kemudian mendambakan keredhaan dan kemenangan yang nyata! ~Astaghfirullah.

301937_244733522239515_162994567080078_654939_1320413671_n

Satu lagi kisah sunnatullah:

Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya.Pak Haji memang mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.

Pak Haji menanam jagung.

Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.

Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.

Ah Chong menanam jagung.

Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.

Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.

Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?

Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.

Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?

Allah…

Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?

Pak Haji…

Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?

Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakan ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluk bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.

Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?

Jawapannya… Ah Chong.

Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).

Peluang-Usaha-Ahasu-Gnaulep

Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.

Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!.

Kata-kata Muhammad Abduh:

“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.

Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.

~Alang2 hidup bertuhankan yang satu, fahamilah secara menyeluruh~

Jadi, ku bertanya:

Apa sudah cukup usaha ku selama ini?! (dalam dakwah dan study).

Apa harapan dan takut ini hanya satu angan-angan?!

Fikir dalam2~

p/s: Aku silap kerana membeli angan-angan tanpa membayar dengan usaha, itqan.

p/s: Ini erti sebuah kehidupan, belajar dan terus belajar dari kesilapan. Dan hanya Allah yang memberi nikmat kefahaman dalam beragama dan nilai hidupan. Tapi tugas kita tetap mencari dan fikir!

p/s: Dah lama tak update blog. Bercadang ingin menulis tentang ujian hidup dan potensi diri. Tapi semuanya masih dalam draft. Kekangan idea… =)

p/s: kisah ajaibnya iman orang muslim yang sebenar: Cerpen Ajaib . Ini baru dikatakan ajaib dan ini baru benar maksud pertolongan Allah.

~Aku selalu jatuh dan jatuh, tapi kutundukkan pandangan, kuteruskan perjalanan dan perjuangan sambil memohon pertolongan Allah~! Allahu Allahu..